RM1.04 bilion dicapai untuk ekonomi Selangor melalui Kempen E-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega

0 Comments

Shah Alam – Kempen Selangor E-Bazar 11.11 Jualan Mega yang berlangsung dari 26 Oktober sehingga 15 Disember 2020 telah mencatatkan hasil yang memberangsangkan dengan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.04 bilion kepada ekonomi Selangor termasuk RM32.06 juta melalui jualan terus.

Kempen ini juga menyaksikan penyertaan 26,744 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) baharu dari keseluruhan 73,791 penjual. Ini merupakan peningkatan sebanyak 267% dari sasaran awal iaitu seramai 10,000 penjual baharu. Peningkatan ini menunjukkan bahawa lebih ramai e saudagar telah mendapat manfaat melalui kempen ini.

Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 274% untuk jualan terus dan 307% peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding dengan Kempen Selangor E-Bazar Raya yang telah dijalankan dari 4 Mei sehingga 4 Julai 2020.

Kempen sebelum ini yang berlangsung sepanjang lapan minggu telah menyaksikan jualan terus berjumlah RM11.7 juta dan kesan riak sebanyak RM341.5 juta kepada ekonomi Selangor.

Kempen Selangor E-Bazar 11.11 yang berlangsung sepanjang sebulan setengah juga telah dilanjutkan kepada 15 Disember berbanding tarikh tutup asal pada 26 November untuk memastikan agar para e-saudagar menikmati manfaat sepenuhnya daripada Jualan Mega 11.11 dan 12.12.

Empat kategori jualan yang paling popular adalah telefon dan aksesori, perkakas rumah, keperluan rumah serta kecantikan dan kesihatan. Kempen ini telah diselaraskan bersama oleh Invest Selangor dan Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) menggunakan platform Shopee dan Lazada yang merupakan platform paling popular untuk jualan atas talian di Malaysia.

Jualan terus bermaksud jualan yang dijanakan terus dari baucar kerajaan negeri Selangor. Kesan riak adalah jumlah barang yang dibeli daripada bakul beli-belah termasuk barang yang tidak menerima baucar subsidi – suatu kesan limpahan (spillover effect) daripada Kempen Selangor E-Bazar 11.11 Jualan Mega.

Kerana Shopee dan Lazada telah menyaksikan prestasi yang memecahkan rekod ketika kempen 11 November pada tahun 2020 dan Malaysia telah menjadi pengguna ke-4 terbesar di dunia melalui kempen jualan atas talian 11.11, menurut portal berita Alibaba Group – Alizila, kejayaan kempen Selangor E-Bazar selaras dengan trend dunia dan sememangnya menonjol kerana ia mempromosikan PKS tempatan. Melalui dua pusingan kempen Selangor E-Bazar, PKS telah menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta dari baucar bernilai RM3 juta oleh kerajaan negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bahawa Selangor merupakan negeri yang pertama menggunakan platform digital ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diumumkan pada Mac 2020. Di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang bertujuan untuk membantu PKS yang terkesan dengan Covid-19, RM600,000 telah diperuntukkan untuk program E-Dapur Selangor, RM1 juta untuk Kempen Selangor E-Bazar Raya, RM2 juta untuk Kempen Selangor E-Bazar 11.11 dan RM2 juta untuk kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” untuk memulihkan sektor pelancongan di Selangor.

“Kita mahu menghasilkan sebuah ekosistem yang simbiotik untuk semua rakyat Selangor. Berdasarkan prinsip ‘tiada sesiapa yang akan ditinggalkan’, digitalisasi bukan hanya terhad kepada kelas pertengahan dan kelas atasan sahaja tetapi untuk semua rakyat Selangor.

“Kerajaan negeri dan agensi yang terlibat telah memperuntukkan RM369 juta untuk memastikan agenda Negeri Pintar Ulung dan Digitalisasi Selangor menjadi kenyataan,” kata Amirudin.

Sementara itu, Exco Industri dan Perdagangan YB Dato’ Teng Chang Khim berkata walaupun pandemik Covid-19 telah mendatangkan banyak kesan negatif, beberapa kebaikan juga dapat dilihat melalui perkembangan sektor e-dagang.

“Kita dapat lihat bagaimana syarikat tradisional telah memilih untuk menjual atas talian dan menjana pendapatan ketika PKP. “Pembelian barangan runcit secara atas talian sudah semakin berkembang, sekaligus meningkatkan jualan para saudagar, memperluaskan kerja penghantar barangan dan menyenangkan para pelanggan.”

Teng juga berkata bahawa sesetengah kategori barangan seperti aksesori telefon bimbit, barangan rumah serta barangan berkaitan kesihatan dan kecantikan merupakan antara kategori yang paling popular di kalangan pelanggan. Katanya, ini telah menyebabkan pembekalan tidak dapat menampung permintaan yang begitu banyak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, “Kempen ini telah memperkasakan ribuan penjual dengan insentif tambahan terutamanya bagi mereka yang baru menceburi dunia e-dagang. “Penjual yang telah menyertai kempen ini menggunakan platform Shopee telah menggunakan aset pemasaran kami untuk pengiklanan maksima dan mendapat manfaat melalui jumlah pembeli yang tinggi ketika festival jualan 11.11.

“Kejayaan Kempen E-Bazar Selangor 11.11 merupakan bukti kepada usaha kami untuk bukan sahaja menghidupkan semula ekonomi negeri tetapi membantu penjual untuk menerima digitalisasi dan menunjukkan bahawa e-dagang ini merupakan sesuatu yang boleh diakses, inklusif dan memberi manfaat kepada semua.”

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Sherry Tan berkata bahawa Lazada berbangga dapat menyokong kerajaan negeri Selangor dalam usaha membantu perniagaan tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang semakin giat berkembang.

“Saudagar yang telah menjadi ‘digital’ telah menyaksikan hasil yang positif dan menjual lebih daripada 1 juta produk secara keseluruhannya. “Ini menunjukkan kelebihan digitalisasi dan trend peningkatan e-dagang selari dengan rakyat Malaysia yang semakin meluangkan lebih banyak masa membeli barangan atas talian.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts

0 Comments

Twimbit’s latest update on the Malaysia’s Telecom industry.  Twimbit (https://twimbit.com/)…